2001
RENUNGAN SATU
Tidur dan solattahajud
Umumnya manusia mengatakan tidur malam perlu antara enam
hingga lapan jam sehari. Tetapi pendapat ini ditolak oleh para
saintis Barat seperti Dr Ray Meddis,seorang profesor di
Department of Human Sciences, England University of
Technology yang mengatakan bahawa manusia sebenarnya perlu
tidur malam selama tiga jam sahaja.
Waktu tidur boleh dibahagi kepada dua bahagian - tidur ayam
dan tidur lelap. Mimpi biasanya berlaku dalam tidur lelap (deep
sleep). Manusia perlu berlatih untuk dapat tidur lelap kerana
tidur ayam adalah masa berangan-angan yang membuang waktu
sahaja. Tidur yang sebenarnya ialah ketika tidur lelap yang
mengikut kajian saintis Barat ialah selam tiga jam.
Kita merasakan bahawa tidur malam kita selalu tidak cukup. Ini
kerana kita tidak terlatih atau mengikut peraturan yang perlu
diikuti ketika tidur. Apabila seseorang athlit hendak memasuki
suatu pertandingan lumba lari dia akan berlatih hampir setahun
sebelum perlumbaan itu bermula. Dengan demikian dia ada
harapan untuk memungut pingat emas. Demikian jugalah kita
mesti melatih diri kita tidur mengikut peraturan.
Mengikut kajian ahli perubatan Barat, Sebelum kita merasa
hendak tidur, mula-mula sekali kita akan merasa mengantuk (
drowsiness ) di mana suhu badan kita akan menurun. Dengan
mengatur waktu tidur dan menggunakan jangkasuhu kita boleh
latihkan diri kita untuk tidur bila perlu. Tidur yang diatur boleh
menjimatkan masa kita dan membolehkan kita melakukan
ibadah dan kerja-kerja lain.
Rasulullah S.A.W. telah memberikan contoh yang baik untuk
tidur lengkap dengan doa-doanya. Bolehlah kita ringkaskan
latihan untuk tidur malam seperti :
1. Makan malam yang sedikit sekadar alas perut supaya tidak
lapar. Jika kita makan malam yang banyak ianya akan
menyebabkan kita cepat mengantuk dan susah bangun dari tidur,
sudah tentu kita akan terlebih tidur pula.
2. Tunaikan solat Isya' sebelum tidur.
3. Bersihkan tempat tidur seperti tilam, bantal dan cadar dari
habuk dan lain-lain kotoran.
4. Amalkan doa-doa sebelum dan sesudah tidur seperti yang
diajarkan Rasulullah S.A.W.
5. Kurangkan masa tidur dari lapan jam sehari kepada tujuh jam
sehari untuk bulan pertama latihan; pada bula kedua kurangkan
masa tidur malam kepada enam jam sehari, seterusnya pada
bulan ketiga kepada lima jam sehingga kita boleh tidur untuk
masa tiga jam sahaja.
Cara untuk kita tidur dan bangun juga mempunyai peraturan
yang perlu diikuti untuk menjaga kesihatan dan mengelakkan diri
dari dihidapi pelbagai penyakit. Umpamanya kita yang suka
bangun tidur melompat dari tidurnya boleh menghadapi risiko
sakit jantung yang boleh membawa maut. Demikian menurut
pendapatseorang doktor dari China - Dr Huang Guoxiong dari
Kolej Perubatan Lioning.
Di dalam Al-Quran ada menyebut segolongan manusia yang
masuk syurga kerana ibadah malamnya dan kurang tidur malam.
Firman Allah dalam Al-Quran yang bermaksud : " Sesungguhnya
orang-orang yang bertaqwa ada di dalam syurga dan dekat
dengan air yang mengalir. Sambil mengambil apa yang diberi
oleh Tuhn mereka. Sesungguhnya mereka sebelum ini di dunia
adalah orang-orang yang berbuat baik. Mereka sedikit sekali
tidur di waktu malam. Dan di akhir-akhir malam mereka
memohon ampun kepada Allah." ( Surah az-Zariat ayat
15-18 )
balik laman utama
RENUNGAN DUA
Merealisasi Kecemerlangan Anak
SETIAP anak dilahirkan cemerlang. Manusia yang terbaik dan cemerlang ialah yang
beriman dan beramal salih. Maksud firman Allah:
"Kamu adalah manusia terbaik yang dilahirkan untuk
manusia, menyuruh yang makruf, mencegah kemungkaran
dan beriman kepada Allah" Surah Al-Imran: ayat 110)
Maksud hadis:
"Setiap anak dilahirkan dalam fitrah, bergantung kepada ibu
bapanya menjadikannya Yahudi, Nasara atau Majusi."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Mengikut Dr Yusuf al-Qardhawi 'fitrah' itu ialah 'Islam'. Jadi setiap anak
dilahirkan seorang Muslim dan berpotensi menjadi terbaik dan cemerlang. Kajian
ilmu perubatan terkini mendapati janin berumur enam bulan dalam rahim ibu dan mungkin
lebih awal, sudah boleh dididik. Inilah apa yang dilakukan oleh Halimathon Yusoff,
ibu Sufiah.
Sebenarnya, Islam mengajar umat memulakan proses pendidikan anak untuk cemerlang
lebih awal daripada enam bulan. Keluarga adalah acuan pembinaan setiap insan. Oleh
itu, Islam amat mementingkan kerukunan keluarga.
Asas keharmonian keluarga ialah suami isteri. Inilah sebabnya Islam menetapkan
garis panduan memilih pasangan hidup. Sudah pasti pasangan hidup yang terbaik ialah
orang yang beriman dan beramal salih. Khalifah Umar al-Khattab mengajar bagaimana
mengenali manusia.
Dalam surah al-Mu'minun ayat 1-11, Allah menerangkan sifat orang Islam yang berjaya
dan cemerlang. Islam menggariskan cara hidup berkeluarga supaya wujud suasana
harmoni, membolehkan anak membesar merealisasikan potensi kecemerlangannya.
Dalam masyarakat Barat, Allah mempertemukan dua insan Islam, Farooq dan Halimathon,
sebagai suami isteri. Daripada rencana 'Rahsia kejayaan Farooq mendidik anak pintar'
(BH 24 Julai 1997) terserlah kejayaan suami isteri itu membangun keluarga yang
dilimpahi suasana kasih sayang dan harmoni dengan mereka bertindak menjadi role model
kepada anak mereka. Sesungguhnya ibu bapalah pendidik utama dan teladan terpenting
bagi anak. Malah pada umumnya, anak adalah cermin bagi ibu bapa.
Sufiah cemerlang inteleknya. Namun untuk menjadi manusia cemerlang sebenarnya,
asasnya ialah kesempurnaan pendidikan rohaninya. Ini jelas daripada apa yang Allah
lakukan dalam mendidik generasi Islam pertama, mengambil masa 13 tahun di zaman
Makkiah. Pendidikan rohani manusia bermula dengan
persetubuhan suami isteri. Islam mengajar manusia mendoa, semasa hendak bersatu,
untuk mendapat perlindungan diri dan anak yang bakal Allah beri daripada syaitan,
musuh paling utama manusia.
Apabila isteri tidak datang haid satu bulan dan diagak sudah hamil, maka kedua-dua
ibu bapa mesti meningkatkan usaha amalan makruf nahi mungkar. Antara perkara yang
digalakkan oleh Islam ialah ibu bapa banyak bersembahyang sunat, membaca al-Quran,
buku agama dan mendengar ceramah agama. Jauhkan daripada perkara yang dilarang dan
tidak digalakkan Islam. Selain pendidikan kerohanian ini, ibu bapa boleh memulakan
pendidikan intelek dengan berinteraksi
dengan janin seperti yang dilakukan oleh Halimathon. Apabila mengandung,
Halimathon berkomunikasi seawal mungkin dengan anak dalam kandungan dengan menepuk
abdomennya, bercakap dan membaca pelbagai buku kepadanya.
Kajian perubatan mendapati otak janin berkembang pesat daripada umur enam bulan dalam
perut ibu dan apabila berumur lapan tahun sudah menyerupai lebih kurang 95 peratus
otak dewasa. Otak kanak-kanak masa ini dapat bertindak seperti 'sponge kering',
menangkap dan menyimpan banyak perkara yang
didedah kepadanya. Mungkin ini sebabnya kaedah fiqh menetapkan
kanak-kanak Islam berumur lapan tahun ke bawah tidak boleh dididik oleh orang kafir,
fasik dan gila.
Makanan terbaik untuk otak membesar. Mutakhir, Barat giat berkempen supaya ibu
memberi anaknya susu ibu sekurang-kurangnya selama enam bulan pertama.
Ini kerana kajian ahli sains mendapati bahan dalam susu ibu yang tidak ada dalam susu
lembu yang amat penting dalam pertumbuhan dan pembesaran otak manusia, yang
mempengaruhi kecemerlangan anak di masa depan.
Kajian juga mendapati penyusuan ibu berperanan besar dalam proses pembinaan jiwa
sihat yang juga menjadi faktor penting pembinaan kecemerlangan. Allah, sebagai
pencipta manusia, dalam surah al-Baqarah ayat 238, menasihati ibu supaya memberi susu
ibu sehingga dua tahun, jika mampu. Jika tidak mampu,
bayi oleh diberi susu dari ibu susuan, bukan susu lembu, dengan bayaran
yang dipersetujui.
Kenapa dua tahun? Apabila kanak-kanak berumur dua tahun, otaknya sudah membesar
sehingga 85 peratus otak dewasa. Mungkin dalam proses pertumbuhan dan pembesaran otak
sehingga dua tahun, otak memerlukan bahan penting yang terdapat dalam susu ibu, yang
belum dikesan manusia, yang amat diperlukan yang tidak ada dalam susu lembu.
Pendidikan kerohanian diteruskan selepas kelahiran bayi. Allah tempat
bergantung segala-galanya. Untuk mendekatkan anak kepada Allah, Dr Yusuf al-Qardhawi
mencadangkan seawal mungkin anak didedahkan kepada Allah. Caranya ialah mendidik anak
cara berikut:
* Apabila menyuruh, katakan: "Anak buat ini, kerana Allah
suka. Nanti Allah balas dengan syurga."
* Apabila melarang, katakan: "Anak jangan buat begitu,
Allah tidak suka, nanti Allah masukkan ke neraka."
Tidak mengapa jika anak terlalu kecil untuk memahami mengenai Allah, syurga dan
neraka. Yang pentingnya, anak hendaklah didedahkan seawal mungkin kepada perkataan
itu. Antara kesan sampingan mendidik anak begini ialah ia memberi kesan kepada
pendidik sendiri supaya bertindak kerana Allah, kerana pendidikan paling berkesan,
untuk semua kanak-kanak dan dewasa ialah dengan contoh dan bukan dengan
kata-kata.
Antara ciri terpenting orang cemerlang ialah dia berilmu. Dan sumber utama ilmu ialah
membaca.
Sebab itu perintah Allah pertama kepada manusia, mendahului perintah lain termasuk
sembahyang, zakat dan haji, ialah 'Iqra!' (Baca!). Semua adik-beradik Sufiah fasih
membaca di sekitar dua dan tiga tahun. Dengan ilmu terkini, umumnya kanak-kanak
sekecil dua tahun, malah lebih awal kalau rajin dan sabar, boleh diajar
membaca.
Antara sifat orang cemerlang ialah disiplin diri. Ini amat penting. Ia boleh
dipupuk dari awal seperti yang dibuktikan oleh Farooq dan Halimathon.
Satu perkara yang ibu bapa mesti pastikan masa untuk kanak-kanak membaca dan belajar
mesti ditetapkan pada masa yang sama setiap hari. Hanya dalam suasana mendesak saja
masa ini diizin untuk tidak diguna untuk belajar. Manusia adalah insan bertabiat.
Tabiat baik mesti dipupuk dari awal. Kajian terakhir menunjukkan bahawa tabiat, baik
dan buruk senang dibentuk sebelum 12 atau 13
tahun. Selepas masa ini amat sukar untuk memupuk tabiat baru atau menghapus tabiat
buruk. Mungkinkah ini sebabnya Allah memilih untuk mendidik generasi Islam pertama
dulu dalam masa 13 tahun, sebagai petunjuk kepada manusia supaya mementingkan proses
pendidikan kanak-kanak berumur 13 tahun ke bawah?
Allah memberikan potensi kepada orang Islam untuk menjadi terbaik dan cemerlang
keseluruhannya, rohani dan intelek. Ilmu untuk merealisasikan potensi ini sudah
dijelaskan oleh kajian terkini. Terpulanglah kepada kita untuk melaksanakannya.
Farooq dan Halimathon sudah membuktikan. Sekurang-kurangnya, kecemerlangan intelek
boleh tercapai dengan melaksanakan ilmu ini. Apabila digabung dengan pendidikan
rohani, sudah pasti kita dapat memenuhi janji Allah yang umat Islam adalah umat
terbaik bagi seluruh manusia: rahmat kepada seluruh alam.
(Dipetik dari Berita Harian Online Oktober 23, 1997)
RENUNGAN TIGA
Renungan: Kematian
Kematian adalah sesuatu yang tidak dapat dielak kerana setiap
manusia pasti
menghadapi maut. Tentang kesakitan yang dirasai ketika sedang bertarung
dengan maut, Rasulullah saw menjelaskan dalam hadis-hadisnya bahawa sakit
ketika hampir mati itu laksana kesakitan ditetak seratus kali dengan pedang
yang tajam atau seperti dikoyak kulit dari daging ketika hidup-hidup.
Amatlah beruntung seseorang itu sekiranya dia mati dalam keadaan khusnul
khatimah (kebajikan) dan adalah menyedihkan sekiranya dia mati dalam
keadaan suul-khatimah. Tentang tanda-tanda samada seseorang itu akan mendapat
kebajikan atau tidak,
terdapat hadis Rasulullah saw dari Salman Al Farisi yang bermaksud:
"Perhatikanlah tiga perkara kepada orang yang sudah hampir mati itu:
Pertama: berpeluh pada pelipis pipinya
Kedua: berlenang air matanya dan
Ketiga: lubang hidungnya kembang kempis
Itu adalah tanda bahawa rahmat Allah sedang turun dan
dirasai oleh orang yang hampir mati itu. Sebaliknya jika ia
mengeruh seperti tercekik, air mukanya nampak gelap dan
keruh dan mulutnya berbuih, ini menandakan azab Allah sedang menimpa dia."
(Hadis riwayat Abdullah, Al-Hakim dan At-Tarmizi)
Berdasarkan hadis ini, ada sebilangan mukmin yang ketika hampir mati, masih
terdapat sisa-sisa dosa padanya. Namun Allah yang Maha Pemurah lagi Maha
Mengasihani menentukan orang itu mati dalam keadaan khusnul khatimah dan
mengampuni segala dosa-dosanya itu.
Dipercayai bahawa kematian berlaku pada jasad manusia secara beransur,dari
hujung kaki ke peha. Apabila rahmat diturunkan padanya kerana mati dalam
khusnul khatimah ini,si mati akan merasa terlalu gembira dankegembiraaan itu
terlahir dengan keluarnya peluh pada pelipisnya.
Air mata yang keluar dan hidung yang kembang kempis pula adalah tanda
bahawa si mati amat malu pada Allah SWT terhadap sisa-sisa dosanya yang
belum sempat ditaubatinya. Orang-orang yang kuat imannya akan merasa malu
untuk melakukan dosa semasa hidupnya kerana merasa bahawa Allah sentiasa
memerhatikannya. Oleh itu, disaat kematiannya, Allah melimpahkan rahmatNya dengan
mengampunkan dosa-dosanya.
Orang-orang yang kafir pula, dia tidak merasa malu pada Allah SWT. Oleh itu
apabila nyawanya hendak dicabut oleh Izrail,wajahnya gelap dan keruh dan dia
mengeruh seperti binatang yang disembelih. Ini juga merupakan penanda bagi
azab yang diterimanya disebabkan oleh dosa-dosa dan kekufurannya.
Dari Alqamah bin Abdullah, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:
"Bahawa roh orang mukmin akan ditarik oleh Izrail dari
jasadnya dengan perlahan-lahan dan bersopan sementara
roh orang kafir pula akan direntap dengan kasar oleh
malaikat maut bagaikan mencabut nyawa seekor khimar."
Terdapat juga orang mukmin yang berdosa, dan Allah menimpakan kekasaran
dan mala petaka sebelum dia menghembuskan nafasnya yang terakhir sebagai
kaffarah atas segala dosanya.
Oleh itu apabila rohnya keluar dari jasad, dosanya telahpun terhapus.
Kadang-kadang kita melihat seorang mukmin yang mati dalam kepayahan dan
seorang kafir yang mati dalam ketenangan. Hendaklah kita berbaik sangka
dengan orang mukmin tersebut kerana mungkin itu merupakan kaffrarah terhadap dosanya
dan dia menemui Allah SWT dalam keampunan kerana sisa-sisa dosanya telah pun
dikaffarah.
Orang kafir yang mati dalam ketenangan pula, mungkin semasa hidupnya dia
berbuat kebajikan dan itu adalah balasan terhadapnya kerana janji Allah bahawa setiap
kebajikan akan dibalas.
Tetapi kerana dia tidak beriman, kebajikan itu tidak menjadi pahala dan
kekufurannya akan diazab di akhirat kelak.
Oleh itu, kita yang masih hidup harus sentiasa berbaik sangka dan mengambil
iktibar terhadap segala yang berlaku. Moga-moga kita akan menemui Allah dalam keadaan
khusnul khatimah dan dalam limpahan rahmat dan keampunanNya.
muka depan
RENUNGAN EMPAT
RENUNGAN LIMA
MUHARAM BULAN TINGKAT IBADAH
Sambutan maal hijrah yang di sambut dengan pelbagai aktiviti yang di berkati ini sebagai memperingati hijrah junjungan Nabi Muhammad s.a.w Makah ke Madinah untuk mengembangkan agama suci Allah.
Bulan Muharam ini juga banyak meninggalkan sejarah dalam usaha Rasullah memperjuankan agama yang dibawa.
Pada 10 Muharam, umat Islam di galakkan melakukan pelbagai pakara sunat kerana Allah menjanjikan ganjaran pahala yang besar bagi mereka yang melakukannya.
Beberapa kelebihan pada 10 Muharam yang dikenali sebagai hari Asyura seperti yang diriwayatkan Syaikh Abdul Rahman Asyfuri, ada 14 pekara disunatkan di lakukan sepanjang hari berkenaan untuk mendapatkan keberkatan daripada Allah s.w.t.
Ó Puasa sunat hari Asyura- dengan niat " sahaja aku puasa esok hari sunat Asyura kerana Allah taala.
Dijanjikan oleh Allah akan pahala yang besar bagi mereka yang mengerjakannya puasa sunat pada hari berkenaan. Diganjarkan pahala 1,000 kali haji, umrah dan syahid.
Mereka yang berpuasa pada hari itu juga diharamkan dirinya dimasukan ke dalam neraka.
Ó Ketika menunaikan puasa ini juga umat Islam digalakan menganjurkan majlis berbuka puasa.
Amalan bersedekah bagi mereka yang berpuasa itu turut dijanjikan dengan pahala yang sungguh banyak.
Ó Umat Islam ketika ini juga disunatkan melakukan sembayang sunat empat rakaat dengan niat: sahaja aku sembayang sunat hari Asyuara empat rakaat kerana Allah taala.
Pada rakaat yang pertama dan kedua selepas Fatihah baca surah al-Ikhlas sebelas kali.Bacaan itu dengan harapan Allah mengampunkan dosa-dosa yang lalu.
Ó Membaca surah al-Ikhlas sebanyak 1,000 kali, dimana amalan ini Allah akan memandangnya dengan pandangan rahmat di hari akhirat kelak.
Ó Ketika ini juga, Islam mengalakan umatnya supaya mandi sunat, dengan niat, sahaja aku mandi sunat Asyura kerana Allah Taala.
Mandi sunat ini diberikan ganjaran dan dikurniakan dengan kesihatan yang berpanjangan sepanjang tahun itu.
Ó mengenakan celak juga digalakan pada hari berkenaan. Dijauhkan diri daripada diserang penyakit mata sepanjang tahun berkenaan.
Ó Islam mengalakan umatnya memelihara kehormatan diri dan dengan cara itu Allah pastinya akan memberikan hidupnya dengan dengan penuh kenikmatan dengan cahaya Iman.
Ó pada bulan ini juga digalakan supaya umatnya bersedekah kepada mereka yang begitu memerlukan.
Dengan pemberian sedekah ikhlas itu, Allah menjauhkan daripada Neraka sekadar jauh seekor gagak terbang tak berhenti hingga ia mati dan diberikan pahala seperti bersedekah kepada fakir miskin di dalam dunia ini.
Ó Di bulan ini jugalah digalakan mengunjungi dan menziarah anak yatim.
Dengan ziarah itu mereka boleh menyapu kepala mereka. Di ganjarkan oleh Allah s.w.t akan sepohon pokok di syurga kelak bagi setiap helai rambut yang disapunya.
Ó Jika pada bulan ini, umat Islam yang menunjukan jalan kepada orang sesat ini dijanjikan olehAllah s.w.t memenuhkan cahaya Iman dalam hatinya
Ó Pada bulan ini juga, Allah meminta umatnya hidup dalam harmoni serta menahan diri daripada sikap amarah.
Menahan diri daripada sikap marah ini membolehkannya mereka dijanjikan Allah tergolong di kalangan umat yang redha.
Ó Memuliakan orang miskin pada bulan muharam ini juga di janjikan Allah akan kemuliaan apabila dia berada di dalam keburukan kelak.
Ó Menyenangkan urusan rumah tangga terutama menyediakan perbelanjaan keperluan harian dan pastinya Allah menjanjikan kepada mereka kemurahan rezeki sepanjang tahun itu.
Ó Digalakan juga kepada umat Islam pada hari itu membaca surah al-Infithaar (terbelah).Dengan bacaan ini dijanjikan oleh Allah kesenangan kepada seseorang.Jika seorang banduan itu dengan hati yang ikhlas dan niat suci serta benar-benar insaf dengan perbuatan lalunya, jika dia membaca surah ini, insya-Allah dia akan akan di bebas dari penjara.
Surah ini juga mempunyai khasiatnya sendiri, ia boleh menyembuhkan penyakit,Jika seseorang yang deman itu membaca surah itu di atas semangkuk air dan di jadikan air mandian, dengan izin Allah, serangan deman itu pasti sembuh.
HADIS
SABDA Rasulullah s.a.w bermaksud: Janganlah seseorang kamu mengharap-harapkan maut disebabkan oleh penderitaan yang terkena kepadanya. Jika dia tidak tahan juga katakanlah: YA ALLAH, lanjutkanlah hidup aku sekiranya ia lebih dan matikanlah aku sekiranya ia lebih baik. (riwayat Bukhari dan Muslim).